Thursday, December 29, 2011

4 Heaven..



Salam untuk teman-teman perkongsian sekalian. Semoga perkongsian kita selama ini memberi permata bernilai kepada kita. Semoga segala perkongsian kita menjadi titis penawar hati dalam mencapai redo Allah.

Ingin sekali terus berkongsi, dan ingin sekali terus berbalas-balas buah fikiran, agar hati ini tidak terasa kering, agar hati ini terus dalam perhatian teman, agar hati ini tidak sendirian.

Jemput kalian semua untuk berbalas perkongsian berkenaan post ini.

Jahiliah

Perkara yang selalu terfikir apabila perkataan ini muncul ialah manusia yang tidak berpendidikan.

Atau mungkin terfikir perkataan ini hanya sesuai kepada masyarakat Khafir Quraisy Mekah sebelum kerasulan nabi Muhammad s.a.w dan tidak mungkin wujud manusia atau masyarakat jahiliah ini lagi pada masa kini.

Perkataan ini juga akan memberi rasa hati yang tidak enak.

Perkataan ini tidak sesuai dalam kamus hidup.

Namun adakah mungkin, jahiliah itu sebenarnya perkara yang dominan dalam kehidupan kita.

Definisi Jahiliah.

Jahiliah berdasarkan maksud bahasa

Berasal dari perkataan “jahala” bermakna bodoh.

Definisi berdasarkan istilah

Jahiliah ialah suatu yang tidak mempunyai panduan atau cahaya

Atau sesuatu kegelapan tanpa cahaya yang dapat memberi petunjuk

(seperti masyarakat Khafir Quraisy yang tidak mempunyai kitab untuk memberi cahaya panduan dalam kehidupan mereka)

Namun berdasarkan al-Quran

Dr Muhammad Abd Kadir Abu Faris menjelaskan jahiliah berdasarkan al-quran dalam bukunya ‘ Mafadi Islamiyyah ‘

Definisi kalimah jahiliyyah perlu dilihat berdasarkan kepada keadaan.

Keadaan kalau orang atau jiwa, ianya bersifat jahiliyyah, keadaan kalau organisasi ianya yang bersifat jahiliyyah begitu juga kalau masyarakat, ianya yang bersifat jahiliyyah.

Iaitu keadaan di mana Jika jiwa, organisasi dan masyarakat yang menolak untuk mengambil hidayah Islam, ajaran Islam dan berhukum dengan hukum Allah s.w.t, maka ia dianggap sebagai jahiliyyah.

Firman Allah s.w.t Surah al Maaidah 50

Terjemahannya:

“ Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ? ”

Surah an Nisaa’ 65 terjemahannya:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa orang-orang yang tidak redha dengan hukum Allah s.w.t, organisasi dan masyarakat yang tidak berdasarkan hukum Allah maka dia adalah jahiliyyah.

Walaupun siapa, dan apa-apa organisasi atau bangsa jika ia tidak berpandukan al-quran dan al-sunnah maka dikira jahiliah. Meskipun ia dilabelkan sebagai penganut Islam

Muhammad Qutb dalam bukunya ‘Jahiliyyah Abad Ke 20 ‘ menjelaskan bahawa jahiliyyah adalah lawan kepada Islam.

Jahiliah tidak kita sesiapa apa, zaman, atau di mana, jika tidak berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, contohnya jahiliyyah tingkah laku atau sifat-sifat diri, iaitu daki-daki atau karat-karat jahiliyyah dalam diri manusia. Tidak mengira siapa.

Seerah menjelaskan berkenaan jahiliah dalam diri insan yang bernama Islam dan seorang sahabat Rasulullah. Ketika mana Abu Dzar sahabat Rasulullah berkata kepada Bilal bin Rabah ‘Wahai anak orang hitam’

Kata-kata ini menyebabkan tergurisnya hati Bilal dan beliau mengadu kepada Rasulullah s.a.w.

Abu Dzar dipanggil berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w bersabda

"Sesungguhnya kamu Abu Dzar masih ada jahiliyyah"

Abu Dzar sedar dan sikapnya itu menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w dan bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Dia memohon kemaafan daripada Bilal dan keampunan dari Allah s.w.t.

Abu Dzar merebahkan dirinya di atas pasir dan meminta Bilal memijak pipinya. Namun Bilal tidak mengambil tindak balas.

Bahkan mereka berpelukan dan bermaafan. Perbuatan seperti ini tidak sampai kepada kufur tetapi dikira berdosa kerana masih ada rasa bangga diri dan menghina orang lain.

Dalam suasana kehidupan dan meskipun dalam kesedaran memproses diri ke arah iman, rawasib-rawasib atau karat-karat jahiliyyah tetap ada.

Oleh itu ianya perlu digilap sentiasa. Besi jika tidak digilap ia akan berkarat dan tidak bagus lagi. Untuk bagus kembali maka besi perlu digilap.

Kalau jiwa berkarat maka kena proses dan gilap jiwa melalui tazkirah jiwa

melalui pembacaan al Quran, mengingati mati, solah, puasa, amalan-amalan zikir dan sebagainya.

Wallahua’alam.

@ Bumi Rabbi

Buat diri dan teman-temanku